Penerangan KRJ
Berkenaan Kami
Kelab Remaja JIM (KRJ) adalah satu unit dari Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang memberi fokus kepada aktiviti pembangunan remaja. Wawasan kami adalah untuk mencapai "Remaja Soleh Wa Musleh" iaitu bukan sekadar melahirkan remaja yang baik tetapi berupaya menjadi pemangkin dan penyumbang kepada masyarakat ke arah yang lebih baik. Kami juga menginginkan remaja-remaja ini menjadi remaja Malaysia yang mempunyai jati diri dan berupaya menjadi pemimpin generasi di masa akan datang.
Pengenalan
Remaja - Radikal, emosional, Manja, Aktif, Jaguh dan Agresif adalah antara sifat-sifat menonjol remaja. Remaja juga merupakan harapan kepada negara; bakal mencorakkan masa depan negara. Banyak dibicarakan tentang keruntuhan akhlak dan sosial remaja; namun kurang dibicarakan tentang sebahagian besar remaja yang berjaya mencorak kehidupan apabila dewasa. Negara perlu membentuk remaja, modal insan yang cukup berharga ini. Remaja mampu memimpin remaja. Remaja mampu dilonjakkan potensinya ke tahap gemilang kiranya pendekatan dan pendidikan yang menyeluruh diaplikasikan dalam bentuk akal, jasad dan roh.
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang ditubuhkan pada 1990 telah meletakkan agenda remaja sebagai satu agenda yang penting. Kelab Remaja JIM (KRJ) telah ditubuhkan pada 1993 secara khusus untuk menjadi wadah pilihan remaja untuk bergerak meningkatkan potensi remaja, menimba ilmu, menambah kemahiran dan terus berupaya bukan sahaja menjadi insan soleh tetapi turut menjadi musleh, menjadi ejen kepada perubahan. Kini KRJ telah dipimpin dan digerakkan oleh remaja yang telah dididik oleh KRJ pada era 90-an.
Untuk menggerakkan aktivisma remaja di seluruh Malaysia, KRJ diwujudkan di peringkat Negeri dan Daerah. Di peringkat nasional, KRJ berada di bawah Jawatankuasa Pembangunan Remaja dan Belia JIM Pusat (JKPRB); diketuai oleh Pengarah KRJ Negeri di peringkat negeri dan Pengurus KRJ Daerah di peringkat daerah.
Pembinaan remaja yang berakhlak tinggi, bertaqwa, soleh dan musleh adalah satu usaha yang diberi tumpuan utama disamping perlaksanaan program yang mematuhi syariat Islam. Bimbingan yang komprehensif, kontemporari, seimbang dan berterusan adalah dititikberatkan. KRJ juga amat bersedia untuk memberi kerjasama dengan pelbagai pihak dalam membangunkan agenda remaja. KRJ telah pun melaksanakan agenda ini dengan Jabatan Kerajaan, Badan NGO, sekolah dan masjid, dan agenda ini akan diteruskan.
Misi
Misi KRJ adalah untuk membentuk remaja yang menghayati Islam secara menyeluruh, bertaqwa, "soleh wa musleh", berwawasan dan berkepimpinan tinggi melalui bimbingan yang komprehensif, kontemporari, seimbang dan berterusan.
Objektif
Bagi mencapai misi KRJ, beberapa objektif umum telah digariskan seperti berikut:
1. Membina generasi remaja kini untuk mengisi kepimpinan masa depan.
2. Membina generasi remaja yang prihatin serta dapat memberi sumbangan terhadap kesejahteraan dan kemakmuran ummah dan negara.
3. Mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu serta mampu mencapai kesejahteraan diri.Melahirkan generasi yang berwawasan, berakhlak mulia dan dinamik.
Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan KRJ
Antara aktiviti yang dijalankan oleh KRJ di setiap negeri adalah:
1. Bimbingan Agama - Keindahan BersamaMu (KBM), Keindahan Bersama al-Quran (KBQ), Keindahan Bersama Solat (KBS), Remaja Raikan Ramadhan (3R), Keindahan Bersama Islam (KBI), Usrah, Remaja Raikan Masjid, Diskusi Ilmu / Teen Circle, Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ)
2. Bimbingan Akademik - Tuisyen, Kem Motivasi, Teknik Belajar
3. Bimbingan Kerjaya - Eksplorasi Menara Ilmu (EMi), Seminar, Bengkel Kerjaya
4. Latihan Kepimpinan - Projek PRODUCE (Projek Remaja Dua Tahun Cemerlang) merangkumi XREK, XPERT, EXCELL, LEADERS, EMi dan MHi
5. Komputer dan IT - Kursus Komputer, Teknik Penggunan Perisian Komputer seperti Flash, Ulead, dsb.
6. Perkhemahan dan Outdoor - XPDC, Jelajah, Xplorace, Back2Nature
7. Sukan dan Rekreasi - Sukan Remaja (SURE)
8. Kemahiran Hidup/Kendiri - Survival Hutan, Rawatan Kecemasan
9. Isu Semasa - Palestin, Gejala Sosial Remaja, Misi Kemanusiaan, Isu Keprihatinan Masyarakat Penerbitan - Benkel Penulisan, Bengkel Teknik Video
Langgan:
Catatan (Atom)