Isnin, 15 Mac 2010
Cintai Allah dan Rasul
Maka termasuk dalam memperjuangkan / meneguhkan pegangan As-Sunnah itu ialah umat Islam menyemaikan diri dengan sifat mencintai Allah dan Rasul-Nya, di mana tanpa rasa cinta, sebenarnya tidak akan lahir kesempurnaan keikhlasan dari jiwa seseorang itu dalam ia mentauhidkan serta beriman kepada Allah dan tidaklah akan menjadi sempurna amal ibadat yang dikerjakan dengan tidak ada kecintaan dan keikhlasan dari seorang yang mengaku dirinya Islam. Sabda Rasulullah saw.:
قَالَ رسول الله : ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَبِهِنَّ حَلاوَةَ الاِيْمَان اَنْ يَكُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَاَنْ يُحِبَّ الْمَرْأ لايُحِبُّهُ اِلاَّ لِلَّه وَاَنْ يَكْرَهَ اَنْ يَعُوْدَ اِلَى الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ اِذْ اَنْقَذَفَ فِيْ النَّارِ “Tiga hal yang barang siapa dalam dirinya terdapat tiga hal ini, dia pasti menemukan manisnya Iman: (1) Kalau Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selainnya, (2) Kalau dia mencintai seseorang, tidaklah dicintainya melainkan kerana Allah, (3) Dan kalau dia benci kembali kepada kekufuran seperti kebenciannya jika dicampakkan ke dalam api”. Hadits riwayat Bukhari dan Muslim
عَنْ اَنَسٍ اَنَّ رسول الله قَالَ : لا يُؤْمِنُ اَحَدُكُمْ حَتَّى اَكُوْنَ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ اَجْمَعِيْنَDari Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tidak beriman sebelum aku lebih dicintai daripada anaknya, orang tuanya dan manusia seluruhnya”. Hadits riwayat Bukhari dan MuslimDua hadits yang jelas menerangkan tentang pentingnya kecintaan itu dipimpin ke jalan yang diredhai iaitu mendahulukan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya yang dari sinilah seorang manusia itu akan berjaya melahirkan keikhlasan dan kesucian hati dalam dirinya. Bahaya manusia yang gagal membina rasa cinta yang didahulukan Allah dan Rasul-Nya adalah ia tidak dapat menghayati kemanisan Iman dan sukar menerima / mengharungi cubaan daripada Allah. Seorang yang tidak wujud kecintaan dan keikhlasan kepada Rabb-nya merasakan kehidupan yang mencabar dengan berbagai rintangan di dunia ini sebagai satu penghalang untuk ia menikmati kelazatan dunia, yang akhirnya hati yang tidak tenteram itu akan memilih jalannya sendiri dalam mengharungi kehidupannya walaupun bergelumang dengan dosa. Baginya nikmat kehidupan dunia adalah sangat penting dituntut dan kehidupannya lebih kepada keduniaan daripada mencari keredhaan Allah. Firman Allah :
وَاِذَا اَنْعَمْنَا عَلَى الاِنْسَانِ أَعْرَضَ وَنَئَابِجَانِبِهِ وَاِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ كَانَ يَئُوْسًا“Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri (daripada bersyukur) dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa.” Surah Al-Isra’ ayat 83 [17:83] Ini adalah suatu keadaan yang boleh kita lihat di sekeliling kita, bagi yang berharta / hidup mewah, sebahagian besar dari mereka semakin jauh dari kebenaran syariat Islam, mula leka dengan mengejar harta dan tanggungjawab beragama semakin terabai akhirnya mereka menjadi manusia yang hilang arah dan bila teruji dengan kegagalan dan sebagainya, mereka akan kecewa dan berputus asa dari rahmat Allah. Sebabnya, mereka belum mengenal Allah dengan jalan yang benar iaitu menurut As-Sunnah hanya dengan jalan bertaklied atau pun telah melalui jalan yang benar lalu terpesong dari kebenaran tersebut, lalu mereka teraba-raba mencari perlindungan dengan hati yang penuh kegelisahan dan kehancuran. Maka berbahagialah orang-orang yang diuji mereka dengan kekayaan dan mereka berjaya menghadapinya dan memanfaatkan kekayaan itu di jalan Allah, sebenarnya amatlah sukar untuk manusia berjaya menempa kekayaan dan menggunakannya di jalan Allah, sebagaimana sabda Rasulullah saw.:
عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ عَنِ النَّبِيِّ ص قَالَ: اِطَّلَعْتُ فِي الْجَنَّةِ فَرَاَيْتُ اَكْثَرَ اَهْلِهَا الْفُقَرَاءَ وَاطَّلَعْتُ فِي النَّارِ فَرَاَيْتُ اَكْثَرَ اَهْلِهَا النِّسَاءَDari Imran bin Hushain r.a. dari Nabi saw., beliau bersabda : “Saya melihat ke dalam syurga, dan saya lihat kebanyakan isinya ialah orang orang fakir. Saya melihat pula ke dalam neraka, saya lihat kebanyakan isinya orang orang perempuan.” Hadits shahih Bukhari.Tidak sedikit yang bercita cita murni untuk mencari kekayaan dan memanfaatkan di jalan Allah, tetapi bila telah memperolehinya mereka merasa sayang dan takut kehabisan harta tersebut, lalu syaitan membisikkan berbagai hasutan sehingga akhirnya mereka tertipu dengan kehidupan dunia dan mati dengan suasana rugi dan sia sia. Kemiskinan yang kita hadapi janganlah dijadikan alasan untuk tidak belajar ilmu agama dan menyempurnakan amal ibadat kerana sebenarnya ahli syurga itu kebanyakan adalah dari kalangan orang yang fakir/miskin. Sabda Rasulullah saw.:
عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ: قِيْلَ : يَا رَسُوْلَ الله مَنْ اَكْرَمُ النَّاسِ ؟ قَالَ: اَتْقَاهُمْ.Dari Abu Hurairah r.a.: Ada orang bertanya : ‘Hai Rasulullah ! Siapakah manusia yang termulia ?’ Beliau menjawab : “Yang paling bertakwa kepada Allah (mematuhi perintahnya).” Hadits shahih Bukhari.Di mana kemiskinan bukanlah satu kehinaan dalam Islam dan kekayaan bukanlah pula satu kemuliaan, semua itu adalah satu ujian dari Allah yang kita hadapi di dunia ini yang akan dipertanggungjawabkan pula di akhirat. Dan apabila kita berjaya melakukan tanggungjawab sehingga menjadi manusia yang mematuhi perintah-Nya itulah sebenarnya orang yang termulia. Jangan di dunia kita miskin harta benda dan bila mati kita miskin pula amal ibadat, carilah peluang yang ada dari kehidupan ini untuk mengaut sebanyak mana kebajikan yang disyariatkan Allah, moga kita berbahagia di kehidupan akhirat. Sabda Rasulullah saw.:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، الاِمَامُ رَاعٍ وَمَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِيْ اَهْلِهِ وَهُوَ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِيْ بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْؤُوْلَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا، وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِيْ مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِTiap-tiap seorang daripada kamu itu pengurus dan tiap-tiap seorang dari kamu akan diperiksa dari hal urusannya. Tiap-tiap seorang raja/pemimpin itu pengurus dan akan diperiksa ia dari hal urusannya, dan tiap-tiap seorang lelaki itu pengurus tentang ahli keluarganya dan dia akan diperiksa dari hal urusannya, tiap-tiap seorang perempuan itu pengurus di rumah tangga suaminya dan akan diperiksa dia dari hal urusannya, tiap-tiap khadim (buruh) itu pengurus tentang harta benda tuannya dan dia akan diperiksa dari hal urusannya, dan tiap-tiap seorang dari kamu pengurus dan akan diperiksa dia dari hal urusannya. Riwayat BukhariApabila kita mengaku bermanhaj As-Sunnah, maka hendaklah kita buktikan bahawa kita sebenarnya adalah seorang yang benar-benar bermanhajkan As-Sunnah, tidak cukup sekadar ucapan tetapi hendaklah dilaksanakan tanggungjawab sebagai umat Muhammad yang patuh dan benar berada di atas jalan yang diredhai. Sekadar melahirkan kata kata dan mengajak orang kepada As-Sunnah sedangkan kita sendiri mengabaikan sekian banyak amalan sunnah Rasul, ini adalah perbuatan yang tidak lain akan mencampakkan kita ke neraka sebagaimana sabda Rasulullah saw.:
عَنْ اُسَامَةَ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ الله ص يَقُوْلُ: يُجَاءُ بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ اَقْتَابُهُ فِي النَّارِ فَيَدُوْرُ كَمَا يَدُوْرُ الْحِمَارُ بِرَحَاهُ فَيَجْتَمِعُ اَهْلُ النَّارِ عَلَيْهِ فَيَقُوْلُوْنَ أَى فُلاَنُ مَا شَأْنُكَ أَلَيْسَ كُنْتَ تَأْمُرُنَا بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَانَا عَنِ الْمُنْكَرِ قَالَ كُنْتُ آمُرُكُمْ بِالْمَعْرُوْفِ وَلاَ آتِيْهِ وَأَنْهَاكُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَآتِيْهِDari Usamah katanya : Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda : “ Ada seorang lelaki dihadapkan pada hari kiamat, lalu dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya, kemudian ia berputar putar sebagaimana keldai berputar putar di sekeliling gilingan. Isi neraka lalu berkumpul di sekelilingnya, sambil berkata : ‘Hai Fulan !’ “Bagaimana keadaan engkau ? Bukankah engkau pernah menyuruh kami berbuat baik dan melarang kami berbuat jahat ?” Jawab orang itu : “Saya pernah menyuruh kamu berbuat baik, tetapi saya sendiri tiada mengerjakannya. Saya pernah mencegah kamu berbuat jahat, tetapi saya sendiri mengerjakannya.” Hadits shahih Bukhari .Ingatlah dalam kita berpegang dengan As-Sunnah tidak cukup sekadar kata kata yang kita menerimanya, tetapi hendaklah kita buktikan dengan memperjuangkannya bersungguh sungguh. Bagi kita yang telah menjadi bapa, ibu atau datuk hendaklah kita buktikan dan contohkan kepada anak cucu kita dari hal kebenaran As-Sunnah dan jangan kita sendiri yang mengingkarinya setelah kita menyampaikan larangan di atas sesuatu hal yang telah jelas bertentangan dengan As-Sunnah. Sebagai contoh jika telah jelas mengkhususkan bacaan Yasin pada malam Jumaat atau hari Jumaat itu adalah bid’ah dhalalah (tambahan yang sesat), sekali kita telah melarangnya jangan kita kendur atau akhirnya kita bersama dengan perbuatan yang haram seperti itu, ia akan menjadi contoh yang tidak baik kepada keluarga kita. Bid’ah itu harus kita tentang menurut kemampuan yang kita ada bukannya kita menghampirinya. Firman Allah :
وَتَعَاوَنُوْا عَلَى الْبِرِّ والتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُوْا عَلَى الاِثْمِ وَالْعُدْوَانِ“Tolong menolonglah kamu atas kebaikan dan ketaqwaan. Dan janganlah kamu tolong menolong atas kemaksiatan dan permusuhan.” Surah Al-Maidah ayat 2 [5:2]Seorang itu walaupun kuat bermanhajkan As-Sunnah mungkin akan mengerjakan perbuatan bid’ah jika ia selalu bersama golongan ahli bid’ah kerana terjerat dengan rancangan ahli bid’ah. Sebagai contoh bila ahli bid’ah mengangkat kita menjadi pengerusi sesuatu majlis yang dihadiri oleh sekian banyak ahlinya dari golongan bid’ah, maka untuk mengambil hati mereka mungkin kita akan memulakan majlis itu dengan bacaan Al-Fatihah yang pada pendapat kita kalau bid’ah pun ‘sikit saja’. Firman Allah :
فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا اُمِرْتَ وَلاَ تَتَّبِعْ اَهْوَآءَهُمْ“Maka kerana itu serulah (mereka kepada agama itu) dan tetaplah sebagaimana diperintahkan kepadamu dan janganlah mengikut hawanafsu mereka.”Surah Asy-Syuraa ayat 15 [42:15]
وَاَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا اَنْزَلَ اللهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ اَنْ يَفْتِنُوْكَ عَنْ بَعْضِ مَا اَنْزَلَ اللهُ اِلَيْكَ ......“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati hatilah kamu terhadap mereka supaya tidak mereka memfitnahkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepada kamu ........” Surah Al-Maidah ayat 49 [5:49]Tidak kira apa jenis bid’ah, baik yang bid’ahnya sampai ke tahap kufr Al- Akbar (kafir besar) atau pun bid’ah tidak sampai ke tahap kafir, sebagai umat yang patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya, wajib kita menjauhkan diri dari bersubahat dengan mereka dalam kegiatan bid’ah sebagaimana anjuran Rasulullah saw.:
اُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَاِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ فَاِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اِخْتِلاَفًا كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلُفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ تَمَسَّكُوْا بِهَا وَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُوْرِ فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ“Aku mewasiatkan kepada kamu sekelian agar bertakwa kepada Allah Azza wa jalla dan mendengar serta taat walaupun yang memerintah kamu seorang hamba Habsyi. Kerana sesungguhnya sesiapa yang hidup antara kamu akan menyaksikan perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa’ Arrasyidin al Mahdiyin (yang mendapat pertunjuk dan hidayat). Berpegang teguhlah padanya dan gigitlah ia (sekuat kuat) dengan gerahammu. Berwaspadalah kamu sekelian terhadap perkara perkara baru (di dalam agama) kerana sesungguhnya setiap perkara baru itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu adalah sesat dan setiap kesesatan itu adalah dalam api neraka.”Hadits shahih riwayat Tirmidzi, Nasai dan Baihaqi.[/b]Maka melayari hidup sebagai ahli Sunnah Wal-Jamaah itu hendaklah kita mendahulukan segala ketaatan, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya dan rela berkorban/berjihad di jalan Allah untuk memartabatkan/meninggikan perjuangan As-Sunnah yang suci lagi mulia. Firman Allah :كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهُوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ “Kamu adalah sebaik baik umat yang telah dikeluarkan kepada manusia dengan menyuruh membuat ma’ruf (membuat yang disyariatkan) dan mencegah dari berbuat kemungkaran (yang dicegah Allah).” Surah Al-Imran ayat 110 [3:110]Islam mewajibkan kita berada dalam jamaah agar kita kukuh, dan mempertahankan jamaah As-Sunnah sebagai punca kejayaan di dunia dan di akhirat. Islam melarang kita dari berpecah belah selagi kita berada di atas manhaj yang sama dan sesungguhnya perselisihan pendapat itu sememangnya tidak dapat kita elakkan, hanya yang termampu kita lakukan adalah memilih menurut keyakinan kita berdasarkan dalil yang sah dari Al-Quran dan Sunnah Rasul juga Sunnah para sahabat yang terpimpin. Sabda Rasulullah saw.:
ذَرُوْنِيْ مَا تَرَكْتُكُمْ فَاِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْا وَمَا اَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوْا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ“Biarkan aku di atas apa yang telah aku tinggalkan kepada kamu. Sesungguhnya telah binasa golongan golongan yang sebelum kamu disebabkan banyak persoalan dan perselisihan mereka ke atas nabi nabi mereka. Oleh itu apa yang telah aku larangi kamu sekelian maka berhentilah (daripada mengerjakannya). Dan apa yang telah aku suruh kamu kerjakan maka kerjakanlah ia sekadar yang kamu mampu.”Hadits shahih Bukhari dan Muslim.Demikianlah cara yang dianjurkan Islam agar kita dapat menghidupkan jamaah yang benar iaitu jamaah yang berpegang teguh kepada As-Sunnah, hendaklah kita lakukan dengan mendahulukan kecintaan kita kepada Allah dan Rasul-Nya, rela mengorbankan harta, jiwa dan kehidupan untuk berjihad di jalan Allah. Tidak kita suka atau membenci sesuatu itu melainkan kerana Allah dan kita perhambakan hidup kita kerana Allah kerana itulah tujuan Allah menciptakan kita di muka bumi ini. الله اعلم
Dinukil dari http://al-fikrah.net/
Oleh Ustaz Muhammad Ihsan Bin IdrisPensyarah,
Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan